Thursday, January 8, 2009

Asyura rai kemenangan tegak kebenaran Islam

Mereka yang menyedari dan mengerti kelebihan serta keistimewaan Muharam akan menanti kemunculannya serta meraikannya dengan penuh kesyukuran kerana Muharam antara bulan penuh keberkatan.

Allah menjelaskan dalam firmanNya yang bermaksud : "Sesunguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab), dan perangilah kamum Musyrikin itu semuanya dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang bertakwa." (Surah at-Taubah, ayat 36)

Sesungguhnya apabila menjelma saja fajar Muharam di ufuk timur, bukan sekadar petanda bermula tahun baru (yang perlu diterokai dengan penuh keazaman supaya kehidupan masa depan lebih baik daripada kehidupan semalam mengikut acuan ajaran Islam), ia juga mengingatkan mengenai hijrah Rasulullah s.a.w. Berpandukan hijrah Rasul dari Makkah ke Madinah yang penuh dengan kegetiran dan pengorbanan, maka Saidina Umar Al-Khattab menetapkan permulaan takwim dalam Islam.

Pada Muharam juga umat Islam meraikan hari Asyura yang menyelitkan pelbagai peristiwa dalam perkembangan Islam sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad s.a.w. Pada hari Asyura ramai nabi mendapat kemenangan dan keselamatan pelbagai gangguan, ancaman dan seksaan dalam memperjuang kesucian ajaran Islam.

Contohnya, pada hari itu Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara selepas meringkuk selama 7 tahun. Nabi Ibrahim keluar dengan selamat dari unggun api yang dinyalakan Raja Namrud untuk membakarnya. Hal itu juga terakam dalam ayat bermaksud : "Kami berfirman :Wahai api jadilah dingin dan selamat atas Ibrahim." (Surah al-ANbia', ayat 69). Nabi Nuh dan kira-kira 80 pengikutnya turun dari bahtera dengan selamat dan aman, selepas berada di dalamnya 6 bulan kerana dilanda banjir besar dan taufan mengerikan.

Demikianlah antara peristiwa yang berlaku pada hari Asyura. Asyura berasal daripada bahasa Arab, "Asyara" yang bermaksud 10. Ini bermakna Asyura adalah hari ke 10 dalam takwim Islam. Pada tarikh itu, banyak peristiwa membanggakan berpihak kepada orang Islam yang perlu dirai serta diingati semua. Sesungguhnya Asyura selalu dikaitkan dengan ibadah puasa sunat Asyura. Mengikut riwayat Ibn Abbas, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melakukan puasa Asyura sejak di Makkah kerana mengikut kebiasaan masyarakat setempat. Namun selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, Baginda mendapati orang Yahudi juga melakukan ibadah puasa lalu Baginda mengajukan pertanyaan, "Apa ini? Kaum Yahudi menjelaskan: "Ini hari baik, ini adalah hari Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka berpuasalah Nabi Musa." Seterusnya NAbi bersabda : "Maka aku lebih berhak dengan Musa daripada kalian." Kemudian Baginda berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa Asyura.

Apabila puasa Ramadhan diwajibkan, Rasulullah s.a.w meninggalkannya (menjadi ibadat sunat). HAl itu diceritakan Saiditina Aisyah : "Kemudian ketika puasa Ramadhan diwajibkan, Rasulullah meninggalkan puasa Asyura. Maka barang siapa berkehendak, dia berpuasa dan barang siapa berkehendak, dia meninggalkannya." (HAdis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi).

Sesungguhnya puasa sunat Asyura dianggap Baginda RAsulullah s.a.w sebagai sangat utama selepas puasa Ramadhan. Denga tegas Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Puasa yang utama (afdal) sesudah Ramadhan ialah puasa pada Muharam." (Hadis riwayat Muslim). Rasulullah s.a.w memberi panduan jelas agar puasa Asyura tidak menyamai puasa orang Yahudi menerusi sabda Baginda yang bermaksud : "Puasalah kalian pada hari Asyura, bezakanlah dengan Yahudi, berpuasalah satu hari sebelum dan sesudahnya." (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Kelebihan puasa Asyura dapat ganjaran pahala dan menghapuskan dosa. Diriwayatkan Imam Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasa'e daripada Qatadah bahawa RAsulullah s.a.w bersabda yang bermaksudh : "Puasa Asyura, sungguh aku berharap kepada Allah untuk melebur dosa tahun lalu."

Apa yang dimaksudkan Baginda ialah yang terhapusnya cuma dosa kecil, manakala dosa besar boleh terhapus melalui taubat dengan mengikut syaratnya.

Sementara peluang masih ada, kita harus berlumba mengerjakan ibadah sunat bagi menambah kekuatan iman dan mendekatkan diri kepada Allah dengan harapan menjadi insan yang taat, bertakwa serta diredaiNya di dunia dan akhirat.

Oleh : Mohd Adid Ab Rahman
Petikan dari : Ruangan Agama, Berita Harian, Rabu, 7 Januari 2009

No comments: