Friday, June 19, 2009

10 wasiat Hassan Al-Banna

Salam Ukhuwwah,

Sedikit informasi untuk renungan kita bersama.

Hassan Al-Banna adalah seorang mujahid dan mujaddid yang ulung yang memperjuangkan Islam di bumi Mesir. Beliau adalah pengasa Gerakan Al-Ikhwan Muslimin dan syahid pada 1949. Berikut adalah wasiat beliau yang dipetik daripada buku bertajuk Sepuluh Wasiat Hassan Al-Banna yang diterbitkan oleh Pustaka Salam (1985) dan diterjemahkan oleh Alias Osman untuk renungan bersama.

Wasiat Pertama
Segeralah tunaikan solat bila saudara mendengar azan, walau bagaimanapun keadaan saudara. Wasiat ini mengajak Muslimin supaya jangan menganggap remeh soal solat. Sesibuk manapun keadaan kita, solat hendaklah didahulukan kerana ia adalah tiang agama dan yang akan menjamin kemenangan di dunia dan akhirat.

Wasiat Kedua
Bacalah Al-Quran, buatlah kajian, dengarlah ilmu atau berzikirlah. Jangan habiskan masa saudara pada perkara yang tidak memberi faedah. Al-Quran adalah perlembagaan bagi satu kehidupan yang mulia, jalan petunjuk dan hidayah yang sebenar. Berpegang kepadanya akan membawa kekuatan dan kemenangan dan menyimpang daripadanya akan membawa kelemahan dan kehinaan. Kita dinasihatkan untuk membuat kajian dan mencari ilmu yang terdapat di dalam Al-Quran.

Wasiat ketiga
Berusahalah mempelajari dan bercakap dalam Bahasa Arab fusha, kerana ia adalah satu daripada syiar Islam. Hassan Al-Banna menasihatkan supaya setiap Muslim berusaha untuk mempelajari bahasa Arab fusha (persuratan) begitu juga untuk pertuturan dan dalam semua urusan. Turunnya Al-Quran dalam bahasa Arab fusha membuktikan kemuliaan bahasa itu. Begitu juga dengan pemeliharaan Allah s.wt terhadapnya dengan berbagai cara sepanjang kurun yang berlalu. Semua sumber ilmu Islam dalam semua bidang ditulis dalam Bahasa Arab fusha.

Wasiat keempat
Jangan memperbanyakkan perdebatan dengan semua urusan, walau bagaimana keadaannya kerana pertengkaran itu tidak mendaatangkan kebaikan. Dalam wasiat ini Hassan Al-Banna menegah perbuatan sengaja mengada-ngadakan perdebatan dan memperbanyakkannya. PErdebatan hendaklah dibataskan kepada perdebatan yang membuahkan hasil kiranya perlu.

Wasiat kelima
Jangan banyak ketawa kerana oarang yang berhubung dengan Allah s.wt bersifat tenang dan serius. Orang Muslim hendaknya jangan ketawa berlebih-lebihan kerana hati yang semarak dengan iman sentiasa ingat kepada Allah s.w.t, takut dan sentiasa harap kepadaNya, tidak pernah mengenal jalan yang sia-sia.

Wasiat keenam
Saudara jangan banyak bergurau kerana umat yang berjihad hanya mengenal keseriusan. Jangan menjadikan gurauan suatu kebiasaan kerana bergurau boleh membawa kepada kebatilan, pembohongan dan fitnah. Bergurau mestilah jujur dan benar pada apa yang diperkatakannya dan mempunyai tujuan yang baik.

Wasiat ketujuh
Jangan angkatkan suara lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh pendengar kerana yang demikian itu perbuatan bodoh dan menyakitkan. Perbuatan ini adalah perangai yang memalukan dan boleh menghilangkan kehormatan seseorang.

Wasiat kelapan
Jangan mengumpat seseorang, merendahkan sebarang pertubuhan dan jangan bercakap kecuali kebajikan. Perbuatan mengumpat adalah perbuatan yang boleh menghancurkan akhlak umat. Ia akan menanamkan bibit kejahatan dan pepecahan di kalangan umat.

Wasiat kesembilan
Berkenalanlah dengan orang yang saudara temui daripada kalangan rakan-rakan sekalipun tidak diminta berbuat demikian kerana asas dakwah Islam ialah kasih sayang dan berkenalan. Berkenalan adalah jalan untuk mewujudkan kasih sayang, kemesraan dan bersatu untuk melakukan kebaikan. Di atas tertegaknya perkenalan yang bersih, tertegaknya dakwah dan ukhuwwah Islamiah dari dulu lagi.

Wasiat kesepuluh
Kewajipan lebih banyak daripada waktu. Oleh itu, tolonglah orang lain supaya memanfaatkan waktunya. Jika berurusan, singkatkanlah masa penuaiannya. Pergunakan waktu dan menghormatinya sama ada waktu orang itu sendiri, kawan atau kenalan. Orang Muslim hendaklah bijak mengendalikan waktunya supaya tidak sia-sia dan melakukan kecuaian.

Ditulis oleh : Sri Muneerah. Sumber : Majalah Aniqah, Jun 2009