Tuesday, March 17, 2009

Utamakan yang patut, salah kita yang gagal memilih

Salam ukhuwwah

Onesue cuma ingin berkongsi kebimbangan onesue mengenai masalah remaja sekarang. Risau sampai rasa menyesakkan dada.

Minggu lepas onesue terbaca dalam akhbar berkenaan jenayah rogol yang semakin berleluasa.Bagaimana seorang perempuan sanggup menodai kepercayaan perempuan lain sehinggakan terjerat sebagai mangsa rogol. Dan bagaimana pula remaja lelaki islam sanggup menodai remaja perempuan islam yang sepatutnya dia lindungi. Ke manakah hilangnya nilai murni dalam dada remaja sekarang.


Teringat cerita di zaman kegemilangan islam dahulu. Dikisahkan ada seorang perempuan islam terselak kainnya sedikit dan ternampaklah auratnya oleh lelaki kafir. Perempuan ini menangis kerana malu dan mengadu kepada pemimpin. Maka pemimpin islam ini menghantar sepasukan tentera memerangi kaum kafir ini. Kenapa sampai berperang? Kerana kaum lelaki islam wajib menjaga kehormatan wanita islam. Kehormatan sesuatu kaum katanya terletak pada kehormatan kaum wanitanya. Sekiranya kaum wanitanya rosak, maka rosaklah kaum itu.

Lihatlah bagaimana kesungguhan lelaki mukmin di zaman kegemilangan islam dahulu. Melihatkan keadaan remaja islam kita sekarang bagaikan langit dan bumi, terlalu dangkal dalam soal agama. Tapi pemerintah kita tidak meletakkan soal sosial, moral dan agama di hadapan. Kita sibuk merisaukan perkara-perkara lain, ingin mengejar kemewahan material sehinggakan moral dan agama jauh ketinggalan di belakang, tidak berkembang dengan seimbang.

Onesue cukup risaukan anak-anak onesue. Di dalam tv, terdapat banyak rancangan kanak-kanak yang kita rasa menarik dan anak-anak kita akan ralit melihatnya. Tanpa kita sedari rancangan itu telah mengajar anak-anak kita untuk maju dalam dunia kepura-puraan. Anak-anak yang 'berbakat' adalah anak-anak yang pandai menari, menyanyi dan berlakon. Sedangkan kita sebagai ibubapa wajib mengajarkan ilmu agama dari kecil. Sematkan di dada anak-anak kita ilmu tauhid, rasa cintakan ALLAH, cintakan rasul, cintakan syurga dan tidak takut mati. Sematkan di dada mereka rasa malu dan pentingnya mereka menjaga menjaga kehormatan diri bukannya buangkan rasa malu dan terkinja-kinja di khalayak ramai.

Onesue sedih memikirkan remaja islam sekarang yang umur sudah menjejaki 15 tahun tapi tidak pandai mengucap. Astaghfirullah. Bagaimana mereka solat? Bukan ke apabila kita bersolat, kita akan sentiasa memperbaharui syahadah kita? Umur sudah 15 tahun tapi masih merangkak-rangkak mengaji, buta al-Quran. Bagaimana kita hendak mengharapkan remaja begini untuk memimpin di masa hadapan? Jika mereka yang buta al-Quran, buta agama memimpin, maka akan porak perandalah negara ini. Keadilan akan dicabuli. Sungguh kasihan remaja ini. Tidak kenal rasul, tidak kenal ALLAH. Ini yang sepatutnya kita risaukan. Untuk mengejar kemajuan, asasnya perlu betul, asasnya perlu kuat. Jika tidak, kemajuan itu tidak akan bermakna dan manisnya kemajuan itu tidak akan dapat dirasai semua.

Onesue menyeru kepada semua ibubapa di luar sana dan diri onesue serta suami onesue sendiri, marilah kita muhasabah diri kita. berbaliklah kepada asal kita. Tenunglah dan fikirkanlah dari mana asal kita dan apakah tujuan kita diwujudkan di muka bumi ini. Barulah kita akan faham apakah tanggungjawab kita yang sebenar. Jika semua sudah faham tanggungjawab masing-masing, barulah penyakit-penyakit yang ada dalam masyarakat hari ini akan dapat diubati. Kasihanilah anak-anak kita yang kita lahirkan ke dunia ini untuk menjadi musuh islam sendiri. Kenapa mereka memusuhi islam? Kerana mereka tidak mengenal apa itu islam. Mereka hanya mengenal islam sebagai agama tapi bukan sebagai cara hidup. Marilah kita utamakan apa yang patut, bukan sibuk untuk membetulkan sesuatu di luar sana sehinggakan yang patut kita tengok ini terbiar layu.

Ingatlah, suatu hari nanti kita tidak akan terlepas dari ALLAH. Apa yang kita akan jawab sekiranya benda yang berlaku itu adalah disebabkan kita yang gagal untuk memilih.

Wallahua'lam