Saturday, July 14, 2012

Mari Kita Solat

Assalamualaikum

Seawal 6.30 pagi kami sudah mengejutkan anak-anak untuk bangun bersolat Subuh berjemaah. Semalam sebelum tidur, kami sudah berjanji dengan mereka untuk bersama-sama mengerjakan solat Subuh.

Sebelum ini, kami hanya bersolat maghrib sahaja bersama-sama. Waktu yang lain belum lagi kami latih mereka. Dan rasanya sudah sampai masa untuk melatih mereka membiasakan diri untuk bangun pagi untuk bersolat. Mereka sudah biasa bangun pagi untuk bersiap ke sekolah sebelum ini.

Sementara menunggu suami onesue bersiap, onesue menerangkan kepada Insyirah ciri-ciri unik yang ada pada solat Subuh iaitu ada doa qunut. "And surprisingly", dia boleh mengikut onesue membawa doa qunut (beberapa ayat pertama). Alhamdulillah. Itulah yang dipelajarinya di Genius Aulad. Alhamdulillah, syukur pada ALLAH.

Kami bukanlah bagus di dalam beramal tetapi kami amat mengharapkan agar anak-anak kami menjadi hambaNYA yang soleh dan solehah. Ya ALLAH, kami mohon kekuatan untuk istiqamah dalam mendidik anak-anak kami. Kami berharap untuk beberapa bulan akan datang, kami akan istiqamah mengejutkan mereka di hujung minggu untuk bersolat Subuh bersama-sama, insyaALLAH sebelum mendidik mereka untuk solat-solat yang lain pula.

Wallahua'lam


Friday, July 13, 2012

Mendidik Anak 'Speaking The Right English'

Assalamualaikum

Nampaknya topik yang akan onesue kongsikan ini masih hangat di pasaran. Menghantar anak ke Genius Aulad sudah mula menunjukkan kesan yang amat positif, alhamdulillah. Anak-anak terutama Insyirah semakin kerap bercakap dalam bahasa Inggeris. Makna doa juga di dalam bahasa Inggeris sehinggakan kami terpaksa membeli buku doa dengan makna di dalam bahasa Inggeris untuk mendidik diri kami bagi tujuan memantau perkembangan anak-anak. Sunggub lucu tetapi kami menganggap ini sebagai perkembangan yang positif untuk kami juga. Sambil mendidik anak, kami juga terdidik, alhamdulillah.

Insyirah sudah mula belajar untuk membina ayat di dalam bahasa Inggeris. Ayat terbaru yang dibinanya adalah 'DINA HELP MOTHER WATER FLOWER'. Mengekek-ngekek kami ketawa membaca ayat tersebut tetapi dalam masa yang sama, onesue lega kerana secara praktikalnya, dia faham makna perkataan tersebut. Cuma 'grammar' nya perlu dibetulkan. Dan itulah yang akan dipelajarinya di penggal kedua ini.

Dan kami juga mula mencari buku-buku cerita untuk kanak-kanak di bawah 6 tahun, 'with simple English'. Agak susah juga untuk mencari buku yang sesuai. Baru-baru ini onesue menonton Malaysia Hari Ini. Kebetulan pula tetamu pada hari itu sedang mempromosikan buku kanak-kanak 'with simple English'. Tetamu ini (tidak sempat onesue ambil namanya) menyiapkan buku yang penuh dengan ayat-ayat perbualan.  'Hmmm, this is interesting'. Katanya lagi, melalui pemerhatiannya terhadap anak dan anak saudaranya sendiri, kanak-kanak tidak mempunyai contoh ayat perbualan yang baik. Mereka perlukan contoh. Kebanyak buku bahasa Inggeris di pasaran lebih kepada penceritaan, bukan perbualan.

Betul juga kan? Kanak-kanak dan kita juga perlukan contoh untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dengan betul. Nampaknya, kami akan berkunjung ke kedai-kedai buku pada hujung minggu ini ataupun minggu depan. Akan kami cari buku-buku sebegitu sampai dapat, insyaALLAH.

Kepada ibubapa di luar sana yang bersetuju dengan apa yang onesue kongsikan di sini, 'APA TUNGGU LAGI?'. Jomlah kita serbu kedai-kedai buku yang ada untuk mencari buku-buku sebegitu, baik untuk anak kita dan kita juga, insyaALLAH

Kepada para penulis buku, teruskan usaha anda yang murni dalam mendidik masyarakat dengan menyediakan buku-buku yang berkualiti. Semoga ALLAH memudahkan tugas anda semua

Wallahua'lam

Cara Memotivasi Diri

Assalamualaikum,
Sudah teramat lama onesue tidak langsung menjenguk blog onesue ini. Tetapi alhamdulillah, masih ada yang sudi menjenguk ke sini. Terima kasih onesue ucapkan kepada semua yang sudi itu.

Kali ini onesue ingin berkongsi info dan panduan yang onesue dapat ketika majlis tazkirah sempena menyambut bulan Ramadhan yang mulia, bulan penuh barakah. Onesue sangat tertarik dengan isi kandungan tazkirah oleh Ustaz Mohamad Bin Mokhsin (maafkan onesue sekiranya nama ustaz dieja dengan tidak betul).

Kata ustaz, untuk memotivasi diri terletak pada diri sendiri. Orang Islam yang baik sentiasa pandai memotivasi diri sendiri. Kerana menurutnya, apa yang terjadi kepada kita semalam, hari ini dan esok adalah di atas perbuatan diri kita sendiri, selain telah ditentukan ALLAH. Terdapat 3 perkara yang perlu dilakukan untuk memotivasi diri :
  • Niat : Niat untuk melakukan sesuatu hendaklah disandarkan sepenuhnya untuk ALLAH, untuk beribadah dan mengagungkan kekuasaanNYA. Sekiranya niat kita untuk mendapat harta dunia, maka harta dunialah yang kita dapat, tetapi sekiranya disandarkan untuk ALLAH, insyaALLAH dunia dan akhirat, kedua-duanya kita dapat
  • Syukur : Sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan berlaku. Bila kita bersyukur, kita akan sentiasa mencari kebaikan di dalam keburukan. Tetapi jika kita adalah orang yang tidak bersyukur, kita akan sentiasa mencari keburukan walaupun di dalam kebaikan.
  • Menambah ilmu : Berusahalah untuk menambah ilmu yang berguna dan berkawanlah dengan mereka yang baik-baik, yang soleh. Semoga dengan itu dapat membantu kita meningkatkan darjat ke tingkat yang lebih tinggi, di mata ALLAH
Alhamdulillah, itu sahaja buat kali ini. Semoga ini mampu menjadi panduan untuk rakan-rakan sekalian dan diri onesue juga, insyaALLAH

Wallahua'lam