Tuesday, October 7, 2008

Hari Raya Aidilfitri

Salam Ukhuwwah,
Agak lama onesue tidak menulis. Onesue agak sibuk semenjak dua menjak ini. Tambahan pula onesue telah pun berpindah ke biodiesel, hidup semakin sibuk.
Well, kali ini onesue hendak bercerita tentang pengalaman beraya tahun ini. Tahun ini merupakan giliran beraya di kampung sebelah suami, di Jenderam Hilir. Kali ini onesue rasa raya di Jenderam Hilir agak meriah berbanding pada tahun pertama kami beraya sebagai suami isteri. Sehari sebelum hari raya, onesue dan suami masih bekerja. Tetapi onesue hanya separuh hari. Sebelum balik ke rumah menyiapkan baju-baju anak yang masih tertinggal, onesue dan suami ke Jusco, membeli kasut dan baju tidur Najmi. Maklumlah, Najmi cepat membesar, sekejap sahaja hanya beberapa helai baju tidur sahaja yang masih muat dan selesa untuk Najmi pakai. Selebihnya terpaksa onesue lipat dan simpan di dalam almari.
Pada malam raya, onesue sibuk memasak puding koktel. Risau juga onesue, takut puding tersebut tidak menjadi. Maklumlah, dah hampir dua tahun onesue tidak memasak apa-apa puding (sejak mengandungkan anak pertama dan kedua). Walau bagaimanapun, hasilnya amat menggembirakan, hihihi. Satu bahagian onesue hantar ke rumah wak. Satu bahagian lagi onesue tinggalkan di rumah mak.
Pagi pagi raya selepas menyiapkan anak-anak, kami terus ke rumah wak. Sudah menjadi tradisi di rumah mentua, pada hari raya pertama, kami akan menghabiskan kebanyakan masa kami di rumah wak. Maklumlah, wak boleh dikatakan sebagai orang yang agak dihormati di kampung ini. Ramai orang akan bertandang ke rumah wak. Dan kami juga menjadikan rumah wak sebagai tempat kami berkumpul dan beramah mesra sesama saudara.
Dalam pukul 11 pagi, kami bergerak ke rumah Pak Long dan Mak Ngah. Najmi dan Insyirah sudah meragam. Sebenarnya masa kami bertandang ke rumah Pak Long n Mak Ngah adalah masa Najmi dan Insyirah tidur. Hajat kami untuk ke rumah Mak Cik Kiah terpaksa dibatalkan. Anak-anak ini perlu dipaksa untuk tidur.
Petang dalam pukul 6, kami ke rumah wak sekali lagi untuk bertemu dengan Pak Long Cheras. Pada hari raya kedua, kami ke rumah atuk hamid dan ke rumah Mak Usu di Semenyih. Terasa hari raya kali ini di Jenderam lebih bermakna kerana dapat berjumpa dengan lebih ramai saudara mara. Kemesraan yang terjalin lebih bermakna.
Di harap hubungan dan kemesraan ini akan terus terikat untuk selama-lamanya, insyaALLAH
Wallahualam