Friday, February 3, 2012

Patutkah kita mengkritik?

Assalamualaikum

Hari ini onesue hendak berkongsi tentang 'kritikan dan teguran'. Rasanya onesue amat terkesan dengan perkara ini sejak dua minggu yang lalu. Sesuatu telah berlaku di tempat kerja tapi ia bukanlah sesuatu yang boleh dikongsikan di sini. Tetapi tedapat beberapa pengajaran dari perkara tersebut. Dan kebetulan pula, bila mendengar radio IKIM, mereka juga membincangkan tentang isu ini. Buka blog kawan juga terddapat kata-kata hikmah yang berkaitan dengan perkara ini. Agaknya inilah cara ALLAH ingin menegur onesue juga.

Patutkah kita mengkritik atau menegur rakan-rakan kita? Jawapannya adalah 'patut, tetapi secara berhikmah. Dan kita juga perlu bersedia untuk dikritik semula.

'Dikritik semula?' Hmm, rasanya itu agak susah untuk dilakukan kan? Kerana kebanyakan orang yang onesue jumpa dan kenal hanya boleh mengkritik tetapi langsung tidak boleh dikritik. Dan onesue rasa onesue juga perlu membiasakan diri untuk dikritik, perlu bersabar dan berfikir secara baik untuk menangani kritikan yang langsung tidak berasas. InsyaALLAH, jika niat kita baik, ALLAH akan membantu kita.

Untuk hidup sebagai hamba ALLAH yang baik, kita perlu menegur/mengkritik secara membina dan kita juga perlu bersedia untuk dikritik/ ditegur. Kenapa? Alasannya adalah sangat mudah. Kerana kita hanyalah hamba ALLAH yang lemah, kita bukanlah hambaNYA yang sempurna dan sentiasa terbuka untuk melakukan kesilapan dan melihat kesilapan yang dilakukan orang lain.

Sebab itu ada pepatah mengatakan yang maksudnya lebih kurang boleh ditafsirkan sebagai 'betapa susahnya untuk kita mencari sahabat sejati dan pemimpin yang baik. Sahabat yang baik tidak akan membiarkan sahabatnya yang lain berterusan melakukan kesilapan. Dia akan sentiasa di belakang sahabatnya menasihati.

Pemimpin yang baik juga begitu, tidak terlalu mengongkong, melihat dari sudut yang lain untuk menegur secara berhikmah. Bukan senang untuk menjadi pemimpin yang mampu membina orang. 'Membina orang?' Ianya bukanlah bermaksud untuk mencipta manusia atau sebagainya. Ianya lebih kepada bagaimana seorang pemimpin yang mampu membina acuan yang baik untuk anak buahnya, membimbing mereka dan tidak membiarkan konflik berlaku berterusan.

Onesue pernah bekerja denga ketua yang terlalu baik untuk menegur anak buahnya. Dia tidak sampai hati untuk menegur secara terbuka, takut melukakan hati anak buahnya dan juga takut sekiranya anak buahnya akan bermuka masam berminggu-minggu. Dia tidak sanggup menghadapi suasana boikot itu. Pelik kan? Sudahnya dia menegur anak buahnya dengan cara menunjukkan bahawa terdapat orang lain (di dalam organisasi yang sama) sebagai orang yang lebih teruk dari anak buah yang ditegurnya. Dan dia juga menggunakan cara seolah-olah teguran itu datangnya dari orang yang digunakan sebagai rujukan itu. Sudahnya, orang yang digunakan sebagai rujukan itu selalu dipandang serong oleh rakan-rakannya. Sungguh tidak bagus, bukan?

Terdapat juga orang yang hanya mengkrtitik di belakang sahaja. Bila berdepan, langsung tiada sebarang ayat yang keluar dari mulutnya. Orang begini adalah orang yang sangat penakut dan tiada pendirian. Orang sebegini terlalu ramai di dalam mana-mana organisasi pun.

Apa-apa pun, tiga hari bercuti menjaga Najmi yang dijangkiti 'Chicken Pox' benar-benar membuka hati onesue untuk mengkaji kekurangan diri. 'Dan Ya ALLAH, bantulah onesue untuk hidup sebagai manusia yang bermanfaat kepada manusia yang berada di sisi onesue. Berilah kekuatan untuk berkata benar dan lindungilah onesue dari fitnah dan pandangan kejahatan. Amin'


No comments: