Sunday, March 13, 2011

Mencari Rezeki Yang Halal

Assalamualaikum

Topik hari ini adalah MENCARI REZEKI YANG HALAL. Gambar di bawah ini onesue ambil ketika dalam perjalanan balik ke rumah mak mertua. Di tengah kepanasan terik matahari, ternampaklah motosikal ini di 'traffic light'. Rasanya orang ini menjual roti menggunakan motosikal. Pernah ke kita terfikir berapa sangatlah hasil yang dia dapat setiap hari. Sekiranya hari hujan, pasti dia tidak dapat menjaja.



Kita sentiasa mengeluh apabila terasa kesempitan sedangkan kita lupa bersyukur ketika kita mendapat rezeki yang banyak. Kenapa mesti bila kita kesempitan sahaja, baru kita ingat untuk mengeluh sedangkan ketika banyak, kita lupa untuk bersyukur/ berterima kasih kepada ALLAH, Maha Pemberi Rezeki?

Walaupun hasil yang mungkin dia dapat adalah sedikit, tidak seperti kebanyakan kita yang mendapat gaji beribu-ribu sebulan, tetapi onesue amat yakin dia bahagia. Kerana dia yakin dengan janji ALLAH. Dia juga yakin bahawa rezeki yang halal itu penuh dengan keberkatan dan cukup walaupun sedikit

Onesue cukup kagum dengan mereka-mereka sebegini. Mereka berpegang teguh kepada janji ALLAH, berusaha mencari rezeki yang halal, berasa cukup dengan apa yang ada. Mereka tidak mencuri, merompak, membunuh dan sebagainya untuk mendapat hasil. Itu sahaja sudah cukup untuk memasukkan mereka ke dalam golongan yang amat sabar.

Sekiranya onesue terserempak dengan mereka-mereka yang berniaga kecil-kecilan, walau di mana sahaja, pasti onesue akan membeli produk mereka. Bukanlah terlalu ingin sangat untuk makan, tetapi ingin menyokong aktiviti mereka. Kerana mereka memilih untuk mencari rezeki yang halal dan berusaha, tidak terjerumus ke lembah hina. Dan manalah tahu, dengan kita membeli produk mereka pada hari itu, mereka mampu untuk tersenyum dan mengucapkan kata-kata syukur kepada ALLAH, juga mampu menghiburkan hati mereka. Mungkin perkara itu adalah sangat besar maknanya kepada mereka, walaupun bagi kita ia sangat sedikit.

Dan onesue amat marah sekiranya melihat anak-anak onesue membazir makanan atau tidak menghargai apa yang meraka ada seperti baju baru, buku dan alatan menulis. Kerana ramai anak-anak di luar sana hanya mampu menikmati makanan yang enak-enak sekali sekala. Tiap hari perut sentiasa lapar, hanya diisi ala kadar, hanya cukup untuk meneruskan kehidupan. Mereka juga amat jarang merasai nikmat memakai baju baru setiap hari. Setahun sekali juga sudah besar maknya untuk mereka. Malah mungkin mereka juga tidak ke sekolah kerana kesempitan hidup

Kepada anak-anak ummi, jadilah hamba yang bersyukur. Jadilah orang yang berjaya supaya anak-anak ummi mempunyai kelapangan untuk membantu mereka yang susah yang lain. Semoga kesusahan mereka di sekeliling anak-anak ummi mampu melembutkan hati-hati kamu, supaya kamu sentiasa berasa belas kepada mereka yang susah. Janganlah kamu berjalan di atas muka bumi ini dengan penuh kesombongan, kamu akan mengundang murka ALLAH.

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik”. Surah al-Baqarah : ayat 168

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripadaNya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Baqarah : ayat 268

Dan untuk kita, sekiranya sekali sekala dalam sebulan itu kita tersaa kesempitan, elakkan mengeluh. Serahkan kepada ALLAH, pasti ada hikmah dan pengajaran yang ALLAH ingin berikan. Dan ingatlah dalam sebulan itu, berapa harikah kita dalam kesenangan. Onesue percaya, bilangan hari kita di dalam kesenangan adalah lebih banyak dari bilangan hari kita di dalam kesempitan. dan kesempitan kita bukanlah sampai ke tahap kita merempat di tepi jalan. Kita masih ada rumah untuk didiami, masih tidur di atas tilam yang empuk, masih ada makanan untuk dinikmati, masih ada kereta atau motosikal untuk membawa kita ke mana-mana.

Semoga kesusahan mereka di sekeliling menjadikan kita hamba ALLAH yang bersyukur dan sentiasa redha dengan apa jua yang DIA takdirkan untuk kita

Wallahua'lam

No comments: