Friday, January 28, 2011

Anak-Anak Ke Sekolah

Salam Ukhuwwah,

Alhamdulillah, akhirnya onesue berjaya mengingat semula password untuk blog ini. Ini merupakan 'indicator' bahawa onesue telah lama tidak menjenguk blog ini.

Cuma ingin berkongsi tentang anak-anak. Najmi telah mula bersekolah (pra-tadika) di sekolah yang sama dengan kakak.Walaupun dia masih bercakap 'pelat', namun dia sangat teruja untuk ke sekolah. Biasanya dia amat bersemangat untuk ke sekolah dan tidak mempunyai banyak masalah untuk mengejutkannya berbanding dengan kakak.

Dan paling mengejutkan, dia juga amat suka mengikut tingkah laku kakak. Sekarang kakak sangat teruja untuk belajar mengeja. Semasa mandi terutamanya, semua benda di dalam bilik air akan cuba diejanya. Begitu juga dengan adik. Alhamdulillah

Ramai rakan-rakan onesue berpendapat bahawa 4 tahun adalah umur yang terlalu awal untuk menghantar anak ke dunia persekolahan. Onesue tidak berapa setuju. Objektif utama onesue menghantar anak ke sekolah seawal 4 tahun adalah supaya mereka belajar berdikari, belajar bergaul dan didedahkan dengan keseronokan bersama-sama rakan-rakan. Onesue tidak terlalu mengharap mereka mesti sudah pandai membaca A,B,C atau pandai mengira. Paling utama adalah mereka belajar mengenal dunia luar. Najmi contohnya, adalah anak yang sangat manja berbanding kakak dan sangat 'malas'. Segala perkara yang hendak dilakukan, memerlukan onesue atau kakak bersamanya. Dahulu onesue cukup risau sekiranya Najmi tidak akan 'survive' bila berada di dunia luar rumah. Dan sekarang onesue sangat berpuas hati. Biarlah keinginan anak-anak untuk belajar datang dengan sendiri tanpa dipaksa. Minat perlu dipupuk, bukan dipaksa.

walau bagaimanapun, ini hanyalah pendapat onesue sendiri berdasarkan sikap anak-anak onesue sendiri. Mungkin ibu bapa di luar sana mempunyai pendapat yang berbeza disebabkan sikap anak mereka juga berbeza. Tiada yang betul dan tiada salahnya.

Baiklah, sekiranya ada masa, onesue akan 'update' lagi perkembangan anak-anak dan juga perkembangan onesue sendiri.

Wallahua'lam

No comments: