Merasai kemanisan nikmat Islam dalam usia yang masih terlalu muda, dianggap sebagai salah satu anugerah yang tidak ternilai. Walaupun suasana awal kedatangan Islam sangat tidak menyebelahi orang Islam, namun keimanan dan keyakinan yang mantap menyebabkan mereka tidak gentar dengan segala dugaan itu. Sekali lagi, umur bukan halangan dalam memastikan keimanan seseorang.Demikianlah yang dirasakan oleh Umayyah binti Qais al-Ghifariyyah, yang baru berusia 14 tahun ketika sinar Islam menusuk masuk ke hatinya. Dia sanggup merentasi perjalanan jauh semata-mata untuk bertemu Rasulullah dan menyampaikan syhadah kepada baginda.
MENAWARKAN BANTUAN
Kisah Umayah ada diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam, yang meriwayatkannya daripada Sulaimen meriwayatkannya daripada Umayah bin Abis-Shilt, dan Umayah sendiri. Umayah menceritakan bahawa dia mengetuai sekumpulan wanita suku kaumnya meminta izin daripada Rasulullah untuk bersama-sama baginda dalam Peperangan Khaibar.
Wanita-wanita ini menawarkan bantuan kepada Rasulullah untuk membantu merawat orang atau orang yang tercedera. Di samping itu, mereka juga menawarkan bantuan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka sebagai seorang wanita. Meraka antara para jururawat yang turut serta dalam perjuangan Rasulullah. Penglibatan kaum wanita dalam peperangan seumpama ini sememangnya dialu-alukan oleh Rasulullah kerana secara tidak langsung pembabitan wanita akan menaikkan semangat lelaki untuk berjuang.
"Dengan berkat Allah, berangkatlah!" Demikian kebenaran yang diberikan Rasulullah.
Kumpulan ini keluar bersama rombongan Rasulullah dan kata Umayah, disebabkan dia masih remaja, maka Rasulullah meminta dia menaiki unta baginda. Dalam perjalanan itulah, Umayah mengalami haid yang pertama yang menandakan gadis ini sedang menuju usia dewasa. Suatu pagi ketika dia turun dari unta yang ditunggangi, dia terlihat kesan darah pada kenderaannya. Serta-merta gadis ini terasa malu yang teramat sangat dan berusaha menutup kesan darah itu.
Umayah juga dikatakan sangat patuh mengamalkan ajaran Rasulullah itu. Setiap kali bersuci daripada haid, dia menggunakan garam sebagai campuran air.Malah dia turut meninggalkan wasiat, apabila dia meninggal dunia, dia mahu jenazahnya dimandikan dengan air yang dicampurkan garam.
No comments:
Post a Comment