Friday, July 25, 2008

Pupuk kejujuran pada anak

Pelbagai alasan diberi oleh si manja apabila anda mengetahui dia sudah mula bercakap bohong. Membuatkan anda runsing memikirkan keadaan ini. Bersama NORHASLIZA YUSOFF melihat keadaan ini.

Semua ibu bapa mengetahui bahawa sejak mulai boleh bercakap anak-anak mungkin terjebak dalam percakapan berbohong. Sukar bagi ibu bapa untuk tidak tersenyum atau tertawa melihat anaknya dengan jelas telah berbohong. Ketika ditanya oleh ibunya 'Siapa yang mengambil coklat yang diletakkan di meja makan?' Sarah yang berusia dua tahun itu mengelengkan kepalanya, sementara mulutnya comot dengan coklat.

Situasi ini mungkin akan membuatkan anda berasa hendak memarahinya. Namun memikirkan usianya masih mentah, anda hanya tersenyum kelat. Tetapi ingat jika dibiarkan berlarutan ia akan menjadi tabiat atau habit kepada anak-anak itu. Semakin lama diamalkan, semakin sukar untuk tabiat itu dikikis atau diubah. Tabiat yang positif, jika diamalkan, akan membentuk keperibadian seseorang itu. Tabiat makan yang betul, membaca doa sebelum tidur, bangun awal dan bercakap jujur misalnya adalah beberapa contoh tabiat positif yang elok diamalkan.

Malah wajar diberi hadiah kegemarannya jika dia berjaya mengekalkan sikapnya dalam satu tempoh. Misalnya dari ulang tahunnya yang ketiga hingga keempat. Mengapa tidak berikan dia hadiah pada hari ulang tahunnya tanda anda menghargainya?

Kanak-kanak juga mempamerkan tabiatnya yang tersendiri yang sentiasa berubah. Kebanyakan tabiat ini bercorak negatif dan selalunya tidak kekal tetapi ada juga yang berterusan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Ini kerana lazimnya pada usia dua atau tiga tahun, anak-anak belum mencapai perkembangan kognitif atau bahasa untuk melihat adanya hubungan langsung antara yang mereka katakan dan mereka lakukan. Bagi mereka, tindakan lebih penting daripada kata-kata yang sering kali ertinya tidak jelas.

Mereka tahu bahawa perbuatan mereka salah dan bahawa orang tuanya marah, tetapi mereka tidak faham bahawa berbohong juga salah. Bagaimanapun, pada usia 4 tahun, anak-anak mulai faham bahawa berbohong yang dilakukan dengan sengaja adalah perbuatan yang buruk.

Terdapat beberapa macam pembohongan. Pembohongan yang dilakukan semata-mata untuk menghindari hukuman adalah jenis yang paling buruk. Pembohongan yang dilakukan untuk tidak menyinggung perasaan oarang lain dianggap tidak begitu buruk. Pembohongan yang dilakukan untuk menolong bahkan menyelamatkan seseorang, dianggap dapat dimaafkan dan bahkan terpuji.

Menurut Paul Ekman dalam bukunya 'Why Children Lie', ada beberapa alasan mengapa anak berbohong. Anak kecil adalah orang acap kali berbohong. Mereka mempunyai pelbagai alasan sebab apa mereka berbuat begitu. Antaranya untuk menghindari hukuman, untuk mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan atau untuk mendapatkan pujian dari sesama teman sebaya an juga ibu bapa!

Dari segi perkembangan anak, berbohong akan memberi kesan jangka masa panjang kepada kehidupan apabila dewasa nanti. Ini kerana dikatakan berbohong mampu mengganggu perkembangan jiwa dan kehidupan anak secara positif. Penelitian pada anak-anak yang sering berbohong menunjukkan mereka akan bersikap negatif iaitu terlibat dalam tindakan antisosial antara lain menipu, mencuri dan bertindak secara kekerasan. Berbohong juga dikatakan mampu mengurangkan jurang hubungan mesra dan keakraban dengan ibu bapa.

Persoalan apa yang dapat dilakukan oleh ibu bapa untuk mengajar tentang kepentingan kejujuran? Dalam hal ini, ibu bapa perlu menunjukkan dan ajar mengenai nilai kejujuran kepada anak sejak anak masih kecil. Tidak ada alasan yang baik untuk berbohong kepada anak. Jika ada sesuatu yang di luar pemahaman mereka, katakanlah secara umum bahawa anda sedang menghadapi masalah tertentu tanpa menerangkan lebih lanjut.

Ibu bapa perlu menanam rasa kepercayaan dalam diri anak. Suami dan isteri perlu menjaga kepercayaan dan kesetiaan masing-masing. Suasana keluarga yang rukun dan saling mempercayai menciptakan perasaan aman dalam diri anak sehingga anak tidak merasa takut untuk bersikap terbuka dan tidak perlu berbohong.

Ganti daripada mengkritik dan memarahi, dengan berbicara dan dengarkanlah terlebih dahulu dari pihak mereka seperti penjelasan dan persoalan untuk mencari jawapannya. Dekatkan anda dengan anak. Dengan ini mudah untuk dia meluahkan apa yang ingin diketahuinya. Ingatlah, dalam peringkat usia ini, anak perlu dibmbing supaya membesar dalam persekitaran yang positif.



TEKANAN EMOSI SI MANJA

Tekanan mosi boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Kanak-kanak yang berusia tiga tahun yang tidak pernah berenggang dengan ibunya akan dilanda tekanan emosi jika ditinggalkan di bawah pengasuh tadika. Dia akan menangis dan menunjukkan perubahan tingkah laku yang ketara.

Jika kanak-kanak ini dimasukkan ke hospital, ibu atau bapanya dinasihatkan agar sentiasa berada di sisinya kerana keadaan persekitaran yang asing dan berbeza akan memberi kesan kepada status emosi anak itu. Kehadiran ibu bapa sedikit sebanyak akan mengurangkan tekanan emosi dan perasaan takut kanak-kanak tersebut.

Tanda-tanda yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berbeza-beza mengikut usia masing-masing. Seorang kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi mungkin kurang selera makan, loya tekak dan muntah-muntah, sakit perut, sakit kepala, pucat dan tidak aktif. Ada yang menjadi tidak bermaya, lelah, sukar tidur malam, kencing malam, menggigit kuku, menarik rambut dan sebagainya.

Kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi mungkin kelihatan lebih kurus akibat hilang selera makan. Doktor yang merawat kanak-kanak yang mempamerkan tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas perlu melakukan pemeriksaan yang teliti supaya sebarang penyakit, jika wujud dapat dirawat segera. Jika doktor yakin tidak ada unsur penyakit berbahaya yang terlibat, keadaan psikososial si anak pula perlu dinilai dengan terperinci. Kemungkinan besar, dia menghadapi tekanan emosi


Sumber : Majalah Pa & Ma, Februari 2007

No comments: