Monday, July 21, 2008

Apakah perbankan Islam


Perbankan Islam adalah aktiviti perbankan yang dijalankan berdasarkan prinsip Syariah. Perbankan Islam tidak membenarkan pembayaran atau penerimaan faedah dan menggalakkan perkongsian untung di dalam amalan perbankan dari sudut pandangan Islam.

Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya adalah berlandaskan prinsip Syariah, yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip dasar perbankan Islam ialah perkongsian untung dan rugi dan larangan ke atas riba’ (faedah). Di antara konsep-konsep Islam yang selalu diguna pakai di dalam perbankan Islam islah perkongsian untung (Mudharabah), simpanan (Wadiah), usahasama (Musyarakah), kos tokok (Murabahah) dan sewaan (Ijarah).

Bank Islam dan institusi perbankan yang menawarkan produk dan perkhidmatan Islam (bank SPI) dikehendaki menubuhkan jawatankuasa penasihat Syariah atau melantik perunding Syariah untuk member khidmat nasihat dan memastikan operasi dan aktiviti mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain daripada itu, Majlis Penasihat Kebangsan yang ditubuhkan di Bank Negara Malaysia (BNM) member khidmat nasihat kepada BNM mengenai aspek-aspek Syariah di dalam operasi institusi-institusi berkenaan termasuk produk dan perkhidmatan mereka.


KONSEP-KONSEP SYARIAH DI DALAM PERBANKAN ISLAM

WADIAH (Simpanan)
Dalam konsep Wadiah, bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana. Seseorang pendeposit memintanya. Pendeposit mungkin akan diberikan ‘hibah’ (hadiah), atas budi bicara bank, sebagai satu bentuk penghargaan kerana membenarkan penggunaan dana pendeposit oleh bank.

MUDHARABAH (Perkongsian Untung)
Mudhabarah ialah pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperolehi akan dibahagi di antara pemberi modal dan pengusaha projek tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui sementara kerugian akan ditanggung seluruhnya oleh pemberi modal.

MUSYARAKAH (Usaha Sama)
Konsep ini biasanya diguna pakai bagi perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan sumbangan modal.
MURABAHAH (Kos tokok)
Penjualan barang adalah pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua pihak. Harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.

BAI’ BITHAMAN AJIL (Pembayaran Jualan tertangguh)
Penjualan barangan berasaskan pembayaran tertangguh pada harga tertentu, yang termasuk margin keuntungan yang telah dipersetujui.

WAKALA (Agensi)
PEserta melantik seorang wakil untuk melaksanakan dan menjalankan transaksi bagi pihak beliau.
QARDHUL HASSAN (Pinjaman ihsan)
Pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam hanya dikehendaki membayar amaun yang dipinjam sahaja. Walau bagaimanapun, peminjam atas budi bicaranya boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa berjanji) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.

IJARAH THUMMA AL BAI’ (Sewa beli)
Konsep ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Kontrak pertama islah kontrak Ijarah (pemajakan/ menyewa) akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua iaitu kontrak Bai’ (belian) dimeterai. Sebagai contoh, di bawah kemudahan pembiayaian kereta, pelanggan akan memasuki kontrak pertama dan memajak kereta tersebut daripada pemilik (bank) pada kadar sewa tempoh tertentu. Pada akhir tempoh pemajakan, kontrak kedua akan dikuatkuasakan bagi membolehkan pelanggan membeli kenderaan tersebut pada harga yang telah dipersetujui.

BAI’ AL-INAH (Perjanjian jual dan beli balik)
Pembiaya menjual asset kepada pelanggan secara bayaran tertangguh dan seterusnya asset berkenaan akan dibeli kembali oleh pembiaya secara tunai pada harga diskaun.

HIBAH (Hadiah)
Sagu hati yang diberi secara sukarela sebagai balasan kepada pinjaman yang diberi atau manfaat yang diterima.

PERBEZAAN DI ANTARA PERBANKAN ISLAM DAN KONVENSIONAL
Perbezaan yang utama di antara perbankan Islam dan konvensional ialah larangan pembayaran atau penerimaan faedah di dalam urusan perbankan Islam. Aktiviti perbankan Islam adalah berlandaskan prinsip dagangan iaitu pembelian dan penjualan asset. Sebagai contoh, di dalam pembiayaan perumahan, harga jualan (termasuk keuntungan pihak bank) telah ditetapkan dari awal.
Pulangan akan diperolehi melalui prinsip perbankan Islam. Perbankan Islam adalah berlandaskan prinsip perkongsian untung di antara bank dan pendeposit. Keuntungan daripada aktiviti-aktiviti perbankan Islam akan dikongsi di antara bank dan pendeposit berdasarkan nisbah perkongsian untung yang tekah dipersetujui dan dibayar dalam bentuk dividen kepada pendeposit. Jumlah dividen yang diberikan bergantung kepada jumlah keuntungan yang dihasilkan daripada operasi bank berkenaan.

Kelolaan : Norhazuren Khalid

Sumber : Majalah Nur, Oktober 2004

No comments: