Wednesday, February 23, 2011

Saudah Binti Zam'ah

Assalamualaikum

Hari ini onesue ingin berkongsi tentang seorang lagi wanita yang wajar digelar srikandi Islam iaitu Saudah Binti Zam'ah.

Siapakah Saudah ini? Beliau adalah dari suku keluarga Amir yang terhormat dan kaya. Ayahnya adalah Zam'ah Bin Abi Syams dan ibunya pula bernama As-Syumus Binti Qais. Saudah tidak seperti kebanyakan anak orang berada yang lain. Beliau suka berbuat baik dan seorang yang suka berkata benar. Beliau juga adalah seorang yang sangat sederhana.

Saudah berkahwin dengan As-Sakran Bin Amru. Mereka sekeluarga adalah antara yang terawal memeluk agama Islam. Ketika tentangan dari kaum Quraisy di kota Makkah sedang hebat berlaku, Rasulullah saw telah mengarahkan umat Islam berhijrah. Saudah sekeluarga adalah antara mereka yang bersama-sama Rasulullah saw berhijrah, merentas padang pasir yang luas bagi menyelamatkan agama yang baru dianuti. Suami Saudah meninggal dunia ketika penghijrahan ini berlaku. Saudah dan anak-anaknya kemudiannya diletakkan di bawah jagaan ayahnya.

Pada ketika itu, Rasulullah saw juga telah kehilangan isterinya Khadijah. Semua sahabat tidak berani mencadangkan agar Rasulullah saw mencari pengganti Khadijah kerana mereka amat tahu betapa dalamnya cinta Rasulullah terhadap Khadijah.

Akhirnya seorang sahabat, Khaulah Binti Hakim telah mencadangkan agar Rasulullah saw mengahwini Aisyah Binti Abu Bakar, namun Aisyah pada ketika itu terlalu kecil untuk bergelar seorang isteri. Akhirnya nama Saudah disebut dan Rasulullah saw bersetuju dan mengizinkan Khaulah untuk meminang Saudah bagi dirinya. Saudah amat terharu dan memberitahu ayahnya.

Ramai orang yang tidak percaya dengan peminangan ini kerana Saudah merupakan seorang janda tua yang tidak rupawan dan telah mempunyai anak. Tujuan Rasulullah saw mengahwini saudah adalah untuk menghapuskan kesunyian di hati Saudah setelah kehilangan suami. Ramai kaum Saudah memeluk agama Islam kerana terharu dengan tindakan Rasulullah saw yang sanggup mengahwini Saudah yang telah lanjut usia.

Setelah berkahwin dengan Rasulullah saw, Saudah dapat merasakan bahawa terdapat benteng yang kukuh yang tidak dapat ditembusi di hati Rasulullah saw. Saudah amat sedar bahawa dia tidak sehebat Khadijah dan sedar bahawa Rasulullah saw telah mengahwininya atas dasar kasihan. Walau bagaimanapun, beliau tetap merasakan bahawa menjadi isteri Rasulullah saw merupakan kedudukan yang lebih baik dari menjadi janda. Oleh kerana itu, apabila Rasulullah saw menyatakan keinginan untuk mengahwini Aisyah, beliau menerimanya dengan senang hati. Saudah sentiasa berusaha menjaga keperluan Aisyah dan berusaha untuk mewujudkan hubungan yang mesra dengan Aisyah. walaupun selepas itu didatangi oleh isteri-isteri Rasulullah saw yang baru, Aisyah tetap diutamakan.

Rasulullah saw amat senang dengan Saudah kerane kesucian hatinya yang melayan madu-madunya dan puteri Rasulullah saw dengan penuh hormat. Rasulullah saw juga berusaha untuk membuka pintu hatinya terhadap Saudah tetapi tidak berjaya. Rasulullah saw juga amat kasihankan Saudah yang sentiasa merasa dirinya penuh dengan kekurangan berbanding isteri-isterinya yang lain. Oleh itu, Rasulullah membuat keputusan untuk membebaskan Saudah dari perasaan yang menyeksa jiwa.

Rasulullah saw telah menyatakan hasrat untuk mentalakkan Saudah. Saudah merasa sangat sedih. Namun apabila beliau kembali tenang, Saudah berkata 'Wahai Rasulullah saw, biarlah aku terus menjadi isterimu. Aku tidak lagi mempunyai keinginan seperti isteri-isterimu yang lain. Akan kuberikan giliranku kepada Aisyah'.

Rasulullah saw begitu terharu dengan kata-kata Saudah dan berasa sangat bersalah. Baginda datang untuk mentalakkannya tetapi Saudah tidak sedikitpun merasa marah. Saudah telah menunjukkan sifat sabar dan kasih seorang isteri. Seperti yang telah dipersetujui, Saudah kekal sebagai isteri Rasulullah saw dan gilirannya diserahkan kepada Aisyah.

Aisyah tidak pernah melupakan jasa Saudah sehinggalah Aisyah pernah berkata 'Tiada wanita yang sangat ku kasihi, sehingga mengizinkan aku mengambil gilirannya melainkan Saudah Binti Zam'ah'

Sekian dulu buat masa ini. Wallahua'lam

No comments: