Monday, February 21, 2011

My kind grandma

Assalamualaikum

Onesue kepenatan hari ini. Melihat jadual 'preventive maintenance' yang masih belum di'update' lagi setelah ditegur sejak sebulan yang lepas sudah cukup untuk memulakan migrain yang dahsyat. Belum lagi pening memikirkan sikap cikgu tadika yang sangat tidak bertanggungjawab membiarkan Insyirah meluru keluar ke pintu pagar tanpa memakai selipar. What if ada kereta yang laju ketika itu? Dan cikgu itu hanya memandang tanpa mengejar pun. Nasib baik onesue 'drive' kereta dan melalui jalan tersebut setelah penat berjalan menghantar Insyirah dan Najmi ke tadika. Belum sampai 10 minit pun rasanya, Insyirah sudah kelam kabut. Apa yang sebenarnya tejadi, penat untuk diambil tahu.

Sedih memikirkan semua ini, mengingatkan onesue kepada kehangatan arwah nenek. Rasanya dialah tempat onesue mengadu dulu. Pemergiannya ke rahmatullah, benar-benar membuat onesue sunyi, tiada lagi tempat bergantung harap meluah perasaan gundah mahupun gembira. Semuanya hanya terbuku, terpendam di hati.

Mendengar lagu dendangan anak-anak Genius Aulad 'My Kind Grandma', benar-benar mengganggu perasaan onesue. Mungkin hati tengah risau dengan pelbagai benda hari ini, membuatkan lagu itu benar-benar membuai rasa hari ini.

'I love my grandma, she's kind to me, she always there to comfort me, with all my heart i will pray,bless my grandma everyday, when i am ill, she is there for me......'

Teringat saat-saat kami berjalan ke kampung sebelah, singgah mengambil ubi kayu di kebun di tepi sungai....Dengan bangganya arwah memberitahu orang kampung 'inilah cucu aku, baru darjah dua tapi dah khatam Al-Quran'. Arwah tak berbangga dengan kehebatan onesue mendapat nombor satu dalam setiap peperiksaan dari darjah satu sehingga darjah dua (pada waktu itu). Arwah rajin belajar mengaji, kadang-kadang dimintanya onesue mengajarnya surah Yasin. Masih terngiang-ngiang arwah sedang menghafal sifat 20, tak pun arwah menghafal 99 nama Allah.

Arwah hidup dengan penuh kesederhaan. Maklumlah, kami bukanlah orang senang. Ketika mak membawa kami balik ke kampung (mak dapat pindah kerja ke Sekolah Menengah Ladang Kerilla), umur onesue baru sahaja 8 tahun. Kami tinggal bersama arwah di rumah yang paling cantik di kampung pada waktu itu, terletak betul-betul di atas bukit Kampung Bukit Langsat. Kononnya, arwah datuk dahulu seorang pendekar dan bertarung menentang jepun. Kampung akhirnya bebas dari serangan Jepun dan arwah datuk mendapat kelebihan tanah di puncak bukit.

Rumah itu sangat cantik, dibina tanpa sebarang paku. Sayangnya, ia sudah tiada sekarang.Serpihan papan masih ada di rumah mak su, buat pengubat rindu.

Arwah adalah lambang ketabahan seorang wanita. Membantu arwah datuk membesarkan anak-anak dengan berkebun, bersawah, menoreh getah dan menjual hasil kebun. Dari mak, onesue tahu arwah sentiasa berjalan berbatu-batu, menjunjung hasil kebun untuk dijual di pasar.

Arwah juga menjadi tempat anak-anaknya berlindung ketika angin arwah datuk tidak baik. Darah pendekar yang ada dalam diri datuk membuatkan dia amat senang untuk 'baran' tetapi arwah neneklah kusyennya. Begitulah hubungan suami isteri yang sepatutnya kan? saling melengkapi.

Hujung minggu, tak ke sekolah, onesue akan menghantar bekal kepada arwah ke kebun getah di 'sabung'. selalunya onesue akan ke bangsal getah dan menjerit 'mok, mano nok letok beka nih?'. Dari jauh terdengar suara arwah sayup-sayup menjawab 'gatung tinggi sikik, takuk babi make'. Jika onesue tidak sibuk membantu mak dengan kerja-kerja rumah dan menjaga adik-adik, onesue akan kembali lagi ke bangsal dalam pukul 9 pagi untuk membantu arwah menggelek getah keping, tak pun mengutip getah sekerap yang kami selalu panggil 'pok'.

Masih teringat lagi ketika musim banjir, mengikut arwah nenek ke tepi bendang, memasang jala kecil. Dapat la ikan untuk dibuat lauk ketika musim tengkujuh. Tak pun, pergi menggali ubi untuk direbus. Ubi panas dengan kelapa amatlah sedap dimakan di musim tengkujuh. Tak pun, pulut dengan kelapa dan ikan kering, meleleh air liur dibuatnya.

Teringat ketika musim menuai padi, selalunya arwah akan membentangkan tikar besar di laman rumah, menjemur padi. Tugas kami adalah menjaga padi tersebut dari dimakan ayam. Macam-macamlah idea yang keluar seperti memasang tali penuh dnegan tin kosong di sekeliling tikar. Tidak perlulah kami mengejar ayam setiap kali, hanya perlu menarik tali dari atas rumah sahaja, bijak kan?

Rasanya tidak akan habis bercerita tentang kenangan bersama arwah. Terlalu istimewa, terlalu banyak. Sayangnya tidak ramai orang terdekat menghargai arwah, Ketika arwah sakit, dia pernah berkata 'oghe lua lagi saye ko mok, tapi anok-anok mok.....'. sebulan sebelum arwah pergi, onesue sempat meluangkan masa sebanyak mungkin bersama arwah. Ketika itu onesue sedang menunggu masa untuk ke universiti. Masih terasa hangatnya tangan arwah memeluk onesue ketika onesue mejahit tudung labuh pertama onesue, bangga katanya. Arwah bercerita tentang di mana diletaknya kain batik untuk disedekahkan kepada orang yang memandikan jenazahnya dan betapa sayunya hati bila arwah cuba menyekat air paip dari ke bawah bukit untuk memenuhkan air kolah, tetapi ada orang membuang sekatan itu. Air kolah itu katanya untuk memandikan jenazahnya nanti. dan arwah terus berceloteh, di selang selikan dengan tangisan meminta agar onesue menjaga mak, jangan dibiarkan mak menangis kerana mak adalah anak arwah yang baik. Tak sanggup dia melihat mak menangis. dan arwah juga meminta onesue sedaya upaya menjaga adik-adik supaya tidak berpecah belah seperti anak-anaknya, Ketika itu, onesue langsung tidak menjangka itu adalah amanat dari arwah, semasa hari-hari terakhir bersamanya.

Ketika bersedih, ketika terasa lelahnya hidup ini, kata-kata semangat dari arwahlah penguat semangat. Jika arwah masih hidup, mungkin hidup onesue lebih bersemangat dari sekarang, mungkin lebih bewarna-warni dari sekarang, mungkin juga mak lebih bersemangat dan lebih gembira dari sekarang. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya kan? Allah tidak pernah menganiayai hambaNya malah kita sendiri yang menganiayai diri kita sendiri. DIA telah mencaturkan perjalanan hisup yang tebaik untuk kita.

Onesue redha dengan pemergian arwah. Semoga arwah tenang disampingNYA, jauh dari busuk hasad dengki, jauh dari penganiayaan manusia-manusia yang lupa diri Al-fatihah untuk arwah nenek yang tersayang, CHE BIDAH.

Kak long sangat merindui 'Mok'.

Wallahua'lam

No comments: