Showing posts with label Anak-anak umur 1 tahun hingga 6 tahun. Show all posts
Showing posts with label Anak-anak umur 1 tahun hingga 6 tahun. Show all posts

Thursday, February 12, 2015

Mujahid kecilku kini 13 bulan

Assalamualaikum,
Lama sungguh onesue tidak singgah ke blog kesayangan ini. Rutin harian sudah semakin sibuk dengan 2 mujahid dan seorang mujahidah kesayangan.

Onesue cuma ingin berkongsi perkembangan Najmi Handzalah. Seawal 5 bulan setengah, giginya mula tumbuh sehinggalah 8 batang pada hari ini. Cantik tersusun, 4 di atas dan 4 di bawah. Pada umurnya 8 bulan lebih, dia sudah mula belajar untuk duduk dengan sendiri. Dia benar-benar berupaya untuk duduk sendiri selepas balik ke kampung bersempena Aidiladha.

Dan bermulalah episod seterusnya, merangkak dan berjalan pada umurnya menjejak 11 bulan setengah. Kalau ikutkan teori orang tua-tua, budak yang giginya tumbuh awal akan mula berjalan agak lambat. Tetapi Handzalah tidak begitu. Dia tidaklah terlalu cepat dan tidaklah terlalu lambat. Sederhana sahaja, samalah dengan berat badannya yang juga mengikut garisan 'average'.

Dan kini umurnya sudah menginjak 13 bulan. Berjalan juga sudah lebih laju. Dia sudah pandai mengikut arahan. Sudah tahu makna 'ambil, bagi umi, pegi mamam dengan kakak @ ayah @ abang ngah, vroomm2' dan sebagainya.

Dia sangat sukakan lampu dan kipas. Kedua-duanya dipanggil 'pu'. Dan jiwanya adalah jiwa kampung. Dia sangat sensitif dengan kicauan burung, kokokan ayam dan bunyi binatang lain yang biasa terdapat di kampung.

Dia juga selalu terpegun mendengar azan semasa menonton tv. Semoga dia ditakdirkan Allah menjadi pejuang agama. Begitu juga dengan kakak dan juga abang ngah.

Kakak dan abang ngah juga sayangkan dia walaupun pada mulanya kami agak risau dengan penerimaan abang ngah. Tetapi alhamdulillah, dengan izin Allah, hati abang ngah lentur bila Handzalah hadir ke dunia ini 13 bulan yang lalu. Alhamdulillah.

Ok, itu sahaja perkongsian onesue kali ini. Ada masa onesue ingin berkongsi pengalaman menyusukan Handzalah secara ekslusif sehingga kini. In sya Allah.

Wallahua'lam

Saturday, July 14, 2012

Mari Kita Solat

Assalamualaikum

Seawal 6.30 pagi kami sudah mengejutkan anak-anak untuk bangun bersolat Subuh berjemaah. Semalam sebelum tidur, kami sudah berjanji dengan mereka untuk bersama-sama mengerjakan solat Subuh.

Sebelum ini, kami hanya bersolat maghrib sahaja bersama-sama. Waktu yang lain belum lagi kami latih mereka. Dan rasanya sudah sampai masa untuk melatih mereka membiasakan diri untuk bangun pagi untuk bersolat. Mereka sudah biasa bangun pagi untuk bersiap ke sekolah sebelum ini.

Sementara menunggu suami onesue bersiap, onesue menerangkan kepada Insyirah ciri-ciri unik yang ada pada solat Subuh iaitu ada doa qunut. "And surprisingly", dia boleh mengikut onesue membawa doa qunut (beberapa ayat pertama). Alhamdulillah. Itulah yang dipelajarinya di Genius Aulad. Alhamdulillah, syukur pada ALLAH.

Kami bukanlah bagus di dalam beramal tetapi kami amat mengharapkan agar anak-anak kami menjadi hambaNYA yang soleh dan solehah. Ya ALLAH, kami mohon kekuatan untuk istiqamah dalam mendidik anak-anak kami. Kami berharap untuk beberapa bulan akan datang, kami akan istiqamah mengejutkan mereka di hujung minggu untuk bersolat Subuh bersama-sama, insyaALLAH sebelum mendidik mereka untuk solat-solat yang lain pula.

Wallahua'lam


Friday, July 13, 2012

Mendidik Anak 'Speaking The Right English'

Assalamualaikum

Nampaknya topik yang akan onesue kongsikan ini masih hangat di pasaran. Menghantar anak ke Genius Aulad sudah mula menunjukkan kesan yang amat positif, alhamdulillah. Anak-anak terutama Insyirah semakin kerap bercakap dalam bahasa Inggeris. Makna doa juga di dalam bahasa Inggeris sehinggakan kami terpaksa membeli buku doa dengan makna di dalam bahasa Inggeris untuk mendidik diri kami bagi tujuan memantau perkembangan anak-anak. Sunggub lucu tetapi kami menganggap ini sebagai perkembangan yang positif untuk kami juga. Sambil mendidik anak, kami juga terdidik, alhamdulillah.

Insyirah sudah mula belajar untuk membina ayat di dalam bahasa Inggeris. Ayat terbaru yang dibinanya adalah 'DINA HELP MOTHER WATER FLOWER'. Mengekek-ngekek kami ketawa membaca ayat tersebut tetapi dalam masa yang sama, onesue lega kerana secara praktikalnya, dia faham makna perkataan tersebut. Cuma 'grammar' nya perlu dibetulkan. Dan itulah yang akan dipelajarinya di penggal kedua ini.

Dan kami juga mula mencari buku-buku cerita untuk kanak-kanak di bawah 6 tahun, 'with simple English'. Agak susah juga untuk mencari buku yang sesuai. Baru-baru ini onesue menonton Malaysia Hari Ini. Kebetulan pula tetamu pada hari itu sedang mempromosikan buku kanak-kanak 'with simple English'. Tetamu ini (tidak sempat onesue ambil namanya) menyiapkan buku yang penuh dengan ayat-ayat perbualan.  'Hmmm, this is interesting'. Katanya lagi, melalui pemerhatiannya terhadap anak dan anak saudaranya sendiri, kanak-kanak tidak mempunyai contoh ayat perbualan yang baik. Mereka perlukan contoh. Kebanyak buku bahasa Inggeris di pasaran lebih kepada penceritaan, bukan perbualan.

Betul juga kan? Kanak-kanak dan kita juga perlukan contoh untuk bercakap dalam bahasa Inggeris dengan betul. Nampaknya, kami akan berkunjung ke kedai-kedai buku pada hujung minggu ini ataupun minggu depan. Akan kami cari buku-buku sebegitu sampai dapat, insyaALLAH.

Kepada ibubapa di luar sana yang bersetuju dengan apa yang onesue kongsikan di sini, 'APA TUNGGU LAGI?'. Jomlah kita serbu kedai-kedai buku yang ada untuk mencari buku-buku sebegitu, baik untuk anak kita dan kita juga, insyaALLAH

Kepada para penulis buku, teruskan usaha anda yang murni dalam mendidik masyarakat dengan menyediakan buku-buku yang berkualiti. Semoga ALLAH memudahkan tugas anda semua

Wallahua'lam

Friday, February 3, 2012

Bubur Nasi

Assalamualaikum

Onesue baru sahaja melayan Najmi makan tengahari. Cuba teka apa menu makan tengahari Najmi hari ini?

'Ya, betul. Bubur nasi'. Amat berselera dia makan, tiga mangkuk.....'Sedap la bubur nasi ni umi. Umi memang pandai masak bubur nasi. Nanti umi masak lagi yea' Itulah yang Najmi ucapkan semasa makan tadi.

Elok jugalah dia meminta bubur nasi. 'Chicken pox' dia hampir sembuh. Makanan bergoreng elok dielakkan. Jadi, bubur nasi adalah pilihan yang agak bagus juga.

Onesue cuma masukkan kiub pati ayam Maggi, sayur bayam yg telah ditumbuk lumat (supaya dia tidak boleh membuangnya, perlu memakannya tanpa ada pilihan). Telur onesue elakkan dulu buat masa ini. Dan hasilnya cukup untuk membuatnya makan bubur nasi sehinggalah ke mangkuk ketiga.

Sekarang anak-anak sudah besar dan mula memilih makanan. Cuma alhamdulillah, susu masih menjadi menu tetap mereka. Jadi, jika kadang-kadang mengikut selera mereka, tidak ada salahnya kan?

Wallahua'lam

Wednesday, September 21, 2011

Jadual imunisasi anak 0 - 6 tahun

Assalamualaikum
Kali ini onesue ingin berkongsi tentang jadual imunisasi anak-anak. Onesue sebenarnya baru lepas bersahur dan sedang mengemaskini rekod-rekod anak-anak. Tiba-tiba terlihat kad jadual imunisasi anak-anak. Rasanya elok jika onesue catatkan di sini. Saje untuk mengimbas semula kenangan ketika anak-anak masih kecil.

  • Baru lahir : BCG dan Hep B (Dos pertama)
  • 6 minggu : Hep B (Dos kedua)
  • 3 bulan : DTP, HIB, Polio (semuanya dos pertama)
  • 4 bulan : DTP, HIB, Polio (semuanya dos kedua)
  • 5 bulan : DTP, HIB, Polio (semuanya dos ketiga)
  • 6 bulan : Hep B (Dos ketiga)
  • 9 - 12 bulan : MMR (I)
  • 12 - 15 bulan : Chcken pox
  • 18 bulan : DTP, HIB, Polio (Dos tambahan)
  • 4 -5 tahun : MMR (II)
Suntikan seterusnya adalah 'double antigen and polio- dos tambahan kedua' ketika umur 7 tahun. Tetapi dos ini perlu diambil disekolah. Hanya vaksin yang disenaraikan di atas yang perlu diambil di hospital. Ketika kakak mengambil suntikan MMR (II) awal tahun ini, Dr Ling menyerahkan kad rekod imunisasi kakak kepada onesue sambil berkata "Tahniah mama dan kakak, kakak dah graduate dari hospital ini". Kami hanya tersenyum.

Sejauh mana kepentingan pengambilan vaksin-vaksin ini kepada anak kita? Menurut Dr Ling, vaksin ini perlu diberi kerana bayi tidak dapat menghasilkan antibodi sendiri. Hanya selepas jadual imunisasi dipenuhi, baru badan anak-anak dapat mengahsilkan antibodi secukupnya untuk melawan serangan virus atau bakteria.

Apakah itu vaksin? Vaksin merupakan virus atau bakteria yang dilemahkan. Imunisasi boleh diberi secara suntikan atau melalui mulut.

Oklah, cukup untuk kali ini. dah masuk waktu Subuh, nak pergi solat.

Wallahua'lam

Wednesday, February 9, 2011

Perkembangan anak-anak dari 1 tahun sehingga 6 tahun

Assalamualaikum......

Onesue ingin berkongsi tentang perkembangan anak-anak dari usia setahun sehingga 6 tahun. Ini berdasar rujukan onesue dari beberapa buku keibubapaan dan juga dari pemerhatian onesue sendiri.

Terdapat 4 jenis perkembangan anak-anak yang selalu diperkatakan iaitu :
  • Perkembangan fizikal
  • Perkembangan emosi
  • Perkembangan kognitif
  • Perkembangan sosial
Perkembangan fizikal
Perkembangan fizikal selalunya dibahagiakan kepada dua iaitu motor halus ('fine motor') dan juga motor kasar ('gross motor'). Ini onesue dapat dari sesi kongsi maklumat bersama dengan cikgu Sham, cikgu tadika Insyirah dan Najmi. Katanya terdapat aktiviti yang boleh merangsang perkembangan fizikal. Disebabkan Najmi agak sukar memegang pensel dengan betul, maka motor halusnya perlu dilatih dan dirangsang. Sekiranya gagal, Najmi cepat merasa penat memegang pensel. Motor kasar pula melibatkan pergerakan otot-otot besar seperti kepala sehinggalah ke kaki

Perkembangan emosi
Emosi selalunya dikaitkan dengan perasaan seperti gembira, sedih, marah, takut dan sebagainya

Perkembangan kognitif
Merupakan pengingkatan keupayaan pemikiran, pengetahuan, peningkatan keintelektualan, kemahiran menganalisa dan membuat kesimpulan berdasarkan pengalaman yang baru dilaluinya

Perkembangan sosial
Selalu dikaitkan dengan keupayaan anak kita berinteraksi

Dibawah ini onesue senaraikan beberapa contoh perkembangan anak yang normal dari umur 1 tahun sehinggalah 6 tahun

1 tahun :
  • Fizikal : Mampu berdiri dengan berpeganag pada sesuatu seperti kerusi, meja dan berjalan dengan perlahan-lahan. Najmi dan Insyirah kedua-duanya mampu melakukan aktiviti ini
  • Emosi : Mula takut atau berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali. Menjadi gelisah apabila berpisah dengan umi atau ayah
  • Kognitif : Mula sukakan buku. Hihihi, ini yang paling best sebab Insyirah dan Najmi memang sukakan buku semasa umur mereka 1 tahun lebih-lebih. Dan anak-anak juga mula faham pada arahan mudah seperti 'jom makan, jom minum susu'
  • Sosial : Sudah pandai bertepuk tangan bersama orang lain

2 tahun :
  • Fizikal : Mula belajar berlari. Pergerakan jari dan tangan lebih meyakinkan
  • Emosi : Sudah mula menunjukkan perasaan seperti marah, gembira dan takut
  • Kognitif : Mula belajar menconteng kertas dan juga dinding atau meja. Seperti dinding rumah kami 2 tahun lepas, penuh dengan kesan 'kreativiti' anak-anak
  • Sosial : Sudah pandai merasai perasaan orang lain dan bertindak balas terhadap perasaan itu. Contoh terbaik adalah anak-anak ini akan memeluk kita sekiranya mereka ternampak kita bersedih atau menangis

3 tahun :
  • Fizikal : Sudah pandai bermain basikal roda tiga. Hihihi, seperti Najmi 5 bulan yang lepas. Imbangan badan semakin stabil
  • Emosi : Pandai berlakon seperti berlakon 'cikgu dan anak murid' atau 'umi dan baby'. Hihihi, kedua-dua contoh ini adalah 'favourite' Insyirah dan Najmi
  • Kognitif : Sudah pandai menyepak bola atau belajar melukis orang lidi atau orang mengikut imaginasi mereka. Najmi suka lukis orang lidi dengan segitiga di luar bulatan kepala. Katanya itu tudung umi, hihihihihi. Meraka juga sudah pandai menyusun gambar atau 'puzzle' yang senang
  • Sosial : Mula pandai bermain dan berkomunikasi dengan rakan-rakan. Perkataan dan bahasa juga bertambah banyak dan baik

4 tahun :
  • Fizikal : Boleh berlari dengan lebih laju, sudah pandai memanjat atau bermain sorok-sorok. Meraka juga sudah mula pandai melompat menggunakan satu kaki
  • Emosi : Pandai bercerita dan meluahkan perasaan dengan lebih tepat
  • Kognitif : Sudah pandai bermain permainan mengira atau apa sahaja aksi yang dilihat seperti aksi peralatan 'Handy Manny'
  • Sosial : Suka berkawan dan sudah mula boleh berkongsi permainan

5 - 6 tahun :

Yang ni onesue belum boleh 'observe' lagi sebab anak onesue belum memasuki umur ini tetapi berikut adalah apa yang onesue dapat dari pembacaan :

  • Fizikal : Kemahiran motor berkembang lagi dan mampu melakukan aktiviti seperti menulis, membaca, mengira, melukis, mewarna, mengemas barang, melipat pakaian dan menyusunnya
  • Emosi : Semakin bijak menunjukkan empati terhadap oang dan juga haiwan
  • Kognitif : mula berminat membaca buku cerita yang mudah, membantu kerja-kerja rumah seperti menumbuk bawang, mencuci pinggan dan sebagainya. Rasanya Insyirah sudah pakar :)
  • Sosial : Semakin bijak bermain, berkawan dan berkomunikasi bersama

Itu sahaja buat kali ini. Sekiranya rakan-rakan sekalian mempunyai lebih maklumat, boleh dikongsikan bersama.

Wallahua'lam